Mintak maaf buat kawan-kawan yang merasakan entri ini untuk saya mengisytiharkan tarikh perkahwinan saya. Sampai masa nanti insya-Allah saya akan jemput kawan-kawan semua. Seribu ampun dan maaf buat mak, ayah dan keluarga, buat pejuang-pejuang adat Melayu yang tegar mempertahankan keperkasaan bangsa ini sepuluh jari disusun mungkin kerana entri ini menyentuh anda. Blog ini adalah santai buat saya menulis apa saja yang berada di benak hati kaykaysaja.
Aku juga Melayu. Melayu kampung yang membesar di luar bandar, sekolah luar bandar hingga ke ceruk hutan. Keris adalah cokmar graduasiku. Makanan rujiku tetap nasi walaupun kadang-kadang terpaksa menikmati mee magi. Namun maggi itu tidak sekelumitpun menghilangkan asal Melayuku. Mungkin kerana kebelakangan ini banyak jemputan perkahwinan yang aku hadiri menyebabkan aku tergerak untuk menaip persoalan-persoalan yang bermain di benak fikiranku ini.
Perkahwinan adalah sesuatu yang suci, mulia dan indah pada hakikinya. Diwarnakan pula dengan kepelbagaian adat dan budaya yang kita warisi telah menjadikan perkahwinan sebagai majlis penuh berseri. Islam menuntut umatnya yang berkemampuan untuk mencari pasangan hidup sebagai suatu sunnah yang penuh dengan keberkatan. Perkahwinan adalah suatu medium dakwah bagi mengeratkan silaturahim, serta meneruskan survival umat manusia di bumi ini. Perkahwinan melengkapkan naluri manusia yang ingin berpasangan dan kerukunan ini perlu dihormati dan dipelihara demi ketamadunan manusia sejagat.
Kini di negara Barat, perkahwinan bukanlah menjadi suatu kewajipan kerana mereka mempunyai pandangan tersendiri mengenai hidup berpasangan. Aku kagum dgn rancangan Gene Simmons Family Jewel yang merupakan kisah reality keluarga Gene Simmons, ahli kumpulan rock KISS. Namun tahukah anda bahawa Gene Simmons sebenarnya tidak berkahwin dgn isterinya itu. Menarik kan? Tapi itu budaya mereka. David Beckham pun berkahwin ketika Posh sedang mengandungkan anak pertamanya. Namun, mungkinkah trend ini yang telah menjadi ikutan di Barat akan meresap ke dalam budaya kita? Syukur kita masih memiliki pegangan agama dan budaya yang kuat untuk memelihara kesucian hubungan suami isteri melalui perkahwinan. Sama ada Islam, Kristian, Buddha atau Hindu, perkahwinan merupakan titik tolak dalam perhubungan seorang lelaki dengan wanita.
Dewasa kini, media kerap membicarakan budaya hedonisme yang melanda masyarakat kita. Golongan muda-mudi serta remaja kerap dipersalahkan lantaran keasyikan berhibur dan bersuka-ria tanpa mengira had budaya. Baca saja komentar, sms di dada akhbar dan tabloid kini. “Muak, loya, menjengkelkan” melihat gelagat anak muda yang berpeleseran seperti hilang pedoman. Kalau dulu zaman bapak-bapak, datuk nenek kita, kadangkala kita sendiri mendengar bagaimana mereka berkahwin di usia muda. Ada yang menjejaki jinjang pelamin sejak usia belasan tahun lagi. Semua ini berjaya mengekang kebejatan sosial dari menular dalam kehidupan mereka seharian. Namun kini, anak-anak muda lebih gemar bersuka ria dan berfoya-foya daripada terus menamatkan usia muda dan terus melangkah ke alam perkahwinan. Salah siapa?
Apa yang aku nampak sekarang, institusi perkahwinan masyarakat Melayu kini semakin hanyut dengan trend yang membuta tuli yang jelas akan meruntuhkan ketamadunan Melayu itu sendiri. Tahun ini sahaja cuba kita kira berapa ramai artis yang sudah bercerai berai? Peningkatan ini menandakan keruntuhan institusi perkahwinan di dalam masyarakat kita. Kita juga dapat melihat bagaimana adat perkahwinan Melayu telah mengalami asimilasi budaya sehinggakan majlis perkahwinan mulai sinonim dengan majlis yang memakan belanja puluhan malah ratusan ribu ringgit untuk dijayakan. Apakah ini sesuatu yang sihat. Mungkin ia tidak menjadi masalah bagi mereka yang berkemampuan. Namun jurang ekonomi dan tuntutan masyarakat untuk mengikuti trend ini bakal mengundang padah yang lebih besar. Saya pernah melihat seorang teman terpaksa membuat pinjaman bank hingga puluhan ribu ringgit bagi merealisasikan impian bergelar raja sehari. Apakah ini yang dituntut agama? Islam itu mudah. Dan Islam tidak pernah membebankan penganutnya. Tidak ada sebarang tututan agama bagi mengadakan majlis besar-besaran sehingga perlu berhutang sana sini. Kelak diri sendiri binasa. Itu belum dicampur dengan hantaran, wang hantaran dan persediaan lain lagi. Aku rasa perlu ada pihak mula membuka mata dan berbuat sesuatu bagi menghalang trend yang tidak sihat ini dari terus meracuni bangsa kita. Suatu majlis perkahwinan itu perlu disusuli dengan adat merisik, bertunang, berinai dan pelbagai lagi yang pasti menelan belanja yang begitu besar. Memang la orang selalu cakap, berkahwin ini sekali seumur hidup. Apa salahnya kalau berbelanja lebih sedikit.
Perkara ini salah! Kerana aku nampak ini perkara pokok yang mulai menekan ekonomi bangsa kita. Dari observasi aku yang masih mentah ini, penekanan pihak keluarga dan masyarakat dalam penganjuran suatu perkahwinan ini menjadi duri dalam daging masyarakat kita. Logiknya, anak muda yang ingin menjejak kaki ke alam perkahwinan itu adalah muda, baru mula hendak bertapak dan mencongak masa depan hidupnya sendiri. Kalau dia hendak berkahwin di usia muda, dia perlu bekerja dan membuat simpanan untuk majlis tersebut. Wang hantaran 10 ribu, majlis kenduri 5-10 ribu. Persiapan? Lain lain? Kita perlu mendidik masyarakat kita tentang pentingnya pelaburan masa hadapan. Sesudah habis majlis perkahwinan itu, ke mana arah tujuan mereka. Puluhan ribu sudah habis dibelanjakan. Lebih kronik kalau ada yang terpaksa menanggung hutang bagi membiaya majlis tersebut. Mungkin sebab family aku ramai lelaki jadi aku kurang nampak relevan meletakkan wang hantaran puluhan ribu ringgit dengan perlbagai syarat lain. Untuk apa semua itu? Pasangan muda itu perlukan dana untuk membeli rumah, kereta dan menyediakan persiapan hidup bersama untuk tahun tahun mendatang. Kita perlu mengubah tradisi ini. Budaya ini. Jangan dirumitkan sesebuah perkahwinan itu.
Ini zaman lain. Zaman yang memerlukan kita perlu lebih bijak dan berhati hati dalam berbelanja. Balik semula kepada tuntutan agama. Mas kahwin, akad nikah, majlis kenduri bagi mengisytiharkan mereka sudah mengikat tali perkahwinan. Mudah kan? Tentunya duit puluhan ribu itu anak muda itu dah boleh guna untuk membeli sebuah rumah yang merupakan suatu pelaburan jangka masa panjang. Menggunakan duit itu untuk melabur ke dalam dana yang mampu memberi pulangan 8-15% untuk pelaburan berisiko rendah. Bangsa kita perlu berubah! Kita tak mahu melihat anak muda itu terbeban dengan hutang bank dan interest selepas berkahwin hanya kerana tuntutan budaya yang semakin tidak relevan. Kenapa saya berkata tidak relevan? Kerana adat kita sendiri membunuh ekonomi bangsa kita.
“Pandai cakap. Kalau betul buat la!” Memang aku mahukan perubahan itu. Sumpah kalau aku mampu merubah bangsa kita, akan aku buat semua itu. “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa itu kecuali mereka yang mengubahnya sendiri.” Pokok pangkalnya usaha. Siapa yang nak menggerakkannya? Ini usaha aku. Aku nampak kita perlu berubah. Bangsa kita perlu berubah. Adat kita perlu dikaji dan diubah. Ini kerana kita berada di bumi kita sendiri. Ego Melayu itu kuat. Sifat “takkan kalah” itu meracuni pemikiran kita selama ini. Persetankan apa sahaja orang lain nak buat. Kita perlu ada pendirian. Ini tidak, kalau jiran sebelah berkahwin dengan catering biasa, kita mesti kena catering selebriti. Jiran kampung sebelah kahwin panggil Alleycat buat persembahan, kita mesti kena panggil Mawi! Kalau anak jiran belajar sampai SPM hantaran kahwin 15 ribu, anak kita lulusan diploma mesti 20 ribu. Eh, anak sulung kita yang ada ijazah itu mesti hantarannya 25 ribu. Ini gila!! Jangan menidakkan perkara ini. Kerana inlah realiti dalam masyarakat kita.
“Alah, nak kahwin pun berkira? Eh, xda duit xpayah kahwin la! Kalau dah demand sangat cari lain saja.”
Bukan itu pokok pangkalnya. Ramai saja yang sanggup bergolok gadai, hutang sana sini semata-mata untuk memenuhi tuntutan adat kita. Saya pernah menyaksikan seorang saudara sanggup menjual rumahnya untuk mengadakan majlis perkahwinan anaknya. Kenapa sampai perlu menjual rumah? Rumah itu asset yang tidak mungkin mengalami depresiasi nilai. Mungkin ramai rasa saya bodoh atau belum matang dalam menilai budaya kita. Tetapi inilah yang berlaku dalam masyarakat kita. Jadi, komentar dan respon anda amatlah saya hargai. Moga-moga kita boleh berkongsi fikiran dan mengutarakan pandangan masing-masing dalam hal ini. Ajaklah saudara mara, handai taulan untuk menilai sejenak pandangan saya ini. Dan setuju atau tidak, tinggalkan komen anda. Mungkin masih ada sudut yang perlu saya lihat untuk memahami keperluan budaya bangsa Melayu ini.